Apa makna tayammum?
Tayammum bermaksud menyapu debu tanah yang bersih ke muka dan dua tangan
sebagai ganti wudhuk dan mandi wajib ketika ketiadaan air atau tidak mampu
menggunakan air kerana sakit, terlalu sejuk atau sebagainya.
[1] Keharusan
tayammum telah sabit dengan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak ulamak. Firman Allah
di dalam al-Quran (bermaksud);
“Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah
seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh (atau
mensetubuhi) perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk atau
untuk mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih, iaitu:
sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu”. (al-Maidah:
6).
Bila diharuskan tayammum?
Secara dasarnya, ada dua sebab yang mengharuskan tayamumm;
1. Kerana keputusan air; sama air tidak ada langsung atau ada sedikit dan tidak
cukup untuk mengambil wudhuk.
2. Kerana tidak mampu menggunakan air
Apakah dalil keharusan bertayammum apabila keputusan air?
Dalil keharusan bertayammum kerana keputusan air ialah hadis dari Said bin
Abdurrahman bin Abza yang meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; Seorang
lelaki datang berjumpa Umar r.a. dan bertanya; “Aku telah berjunub dan aku
tidak menemui air (untuk mandi)”. Umar menjawab; “Janganlah kamu mengerjakan
solat (hingga kamu menemui air)”. Namun ‘Ammar bin Yasir r.a. (yang ada bersama
Umar ketika itu) berkata kepada Umar; “Tidakkah engkau ingat ketika kita
sama-sama dalam satu musafir di mana kita berdua telah berjunub dan kita tidak
menemui air (untuk mandi). Adapun kamu, maka kamu memilih untuk tidak
menunaikan solat. Adapun aku, maka aku telah berguling di atas tanah (untuk
bertayammum) dan kemudian aku menunaikan solat”. Apabila diceritakan kepada
Nabi s.a.w., maka baginda berkata (kepada ‘Ammar); “Sesungguhnya memadai kamu
menepuk dua tapak tangan kamu ke tanah, kemudian kamu hembusnya (untuk
menipiskan sedikit debu di tapak tangan itu) dan seterusnya kamu sapukan debu
ke muka dan ke dua tangan kamu (hingga pergelangannya)”.
[2]
Apakah dalil keharusan bertayammum kerana tidak mampu menggunakan air?
Dalilnya ialah hadis dari Amru bin al-As r.a. yang menceritakan; “Semasa dalam
peperangan Zatus-Salasil, aku telah bermimpi (hingga keluar mani) pada malam
yang bersangatan sejuk, lalu aku bimbang jika aku mandi mungkin akan membawa
kebinasaan kepadaku. Maka aku pun bertayammum dan kemudian aku menunaikan solat
Subuh bersama sahabat-sahabatku (tentera-tentera Islam). Apabila kami tiba di
Madinah (setelah selesai perang), mereka mengadu kepada Rasulullah s.a.w.
tentang apa yang telah aku lakukan (yakni bertayammum). Maka Rasulullah bertanya
kepadaku; ‘Wahai Amru! Apakah kamu menunaikan solat bersama sahabat-sahabatmu
sedangkan kamu berjunub?’. Lalu aku menjawab; ‘Aku teringat firman Allah; “Dan
janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa
mengasihani kamu”. (an-Nisa’; 29).
Maka kerana ayat itu aku pun bertayammum dan kemudian mengerjakan solat’.
Mendengar peneranganku, Rasulullah s.a.w. ketawa dan baginda tidak berkata
apa-apa”.
[3]
Imam ad-Daruqutni menceritakan bahawa Saidina ‘Ali ditanya berkenaan seorang
lelaki yang berada dalam musafir, lalu ia ditimpa junub sedang air yang ada
padanya hanya sedikit di mana ia bimbang jika air itu digunakan untuk mandi
wajib menyebabkan ia kehausan. Jawab Saidina ‘Ali; “Hendaklah ia bertayammum”.
Imam Ahmad pernah menceritakan; “Beberapa orang sahabat bertayammum dan mereka
menyimpan air untuk minuman mereka”.
[4]
Apakah contoh-contoh keadaan yang mengharuskan tayammum kerana tidak mampu
menggunakan air?
1. Tidak mampu menggunakan air kerana sakit, atau bimbang bertambah sakit, atau
bimbang lambat sembuh. Hal tersebut diketahui dengan pengalaman atau makluman
dari doktor.
2. Air yang ada diperlukan (untuk minum dan sebagainya) pada ketika itu atau
akan datang.
3. Terdapat sangkaan yang kuat dalam dirinya bahawa akan ditimpa sakit jika ia
menggunakan air.
4. Takut kepada musuh yang menghalangnya dari mendapat air sama ada musuh itu
manusia atau binatang buas.
5. Air diperlukan untuk minuman haiwan yang bersamanya seperti kudanya atau
sebagainya.
6. Air diperlukan untuk menguli tepung, untuk memasak dan sebagainya.
7. Air diperlukan untuk membasuh najis yang tidak dimaafkan (yakni mesti
dibersihkan).
8. Bimbang kepada sejuk yang bersangatan jika musim sejuk luar biasa.
Apakah syarat-syarat sah tayammum?
Untuk sahnya tayammum, para ulamak telah menggariskan syarat-syarat berikut;
[5]
Pertama; Hendaklah orang yang bertayammum mempunyai keuzuran yang menghalangnya
dari menggunakan air iaitu kerana keputusan air atau tidak mampu menggunakan
air.
Kedua; Berusaha mencari air terlebih dahulu jika tayammum dilakukan kerana
keputusan air.
Ketiga; Hendak lah tayammum itu dengan menggunakan tanah yang bersih
Keempat; Hendaklah bertayammum setelah masuk waktu
Syarat pertama telahpun kita huraikan tadi iaitu tatkala memperkatakan tentang
bilakah harus kita bertayammum. Untuk berikutnya kita huraikan syarat-syarat
selebihnya iaitu yang bersangkutan dengan kewajipan mencari air, bahan tayammum
(iaitu tanah menurut jumhur ulamak) dan waktu dilakukan tayammum.
Apa maksud mencari air?
Seseorang yang ingin bertayammum kerana ketiadaan air, wajib ia berusaha
mencari air terlebih dahulu di kawasan sekitarnya. Jika air tiada di rumah,
hendaklah ia pergi ke masjid umpamanya atau ke rumah berdekatan moga-moga
menemui air. Jangan semata-mata tiada air di rumah, lalu ia pun bertayammum.
Setelah pasti benar-benar tidak ada air, barulah bertayammum. Mencari air itu
wajib diulangi setiap kali hendak bertayammum.
[6]Tidak cukup
dengan pencarian ketika kali pertama bertayammum sahaja.
Bagaimana jika ada air, namun tidak mencukupi untuk bersuci, adakah
digunakan air baru tayammum atau terus tayammum?
Ada dua pandangan ulamak bagi masalah ini;
[7]
Pandangan pertama; wajib digunakan air yang ada itu, kemudian
barulah bertayammum bagi anggota yang tidak dapat dicuci dengan air. Pandangan
ini merupakan mazhab Imam Ahmad dan Imam Syafi’ie (dalam qaul jadidnya).
Pandangan kedua; hendaklah terus bertayammum dan tinggalkan air
itu. Pandanagn ini adalah pandangan jumhur ulamak yang terdiri dari al-Hasan,
az-Zuhri, Hammad, Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafi’ie (dalam qaul qadimnya),
Ibnu al-Munzir dan al-Muzanie (murid Imam Syafi’ie).
Kalau seseorang itu lupa bahawa dalam kenderaannya ada air atau ia lupa ada
menyimpan air di satu tempat, lalu ia pun bertayammum dan mengerjakan solat;
bagaimana hukumnya?
Ada dua pandangan ulamak bagi masalah ini;
Pertama; menurut Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; tidak dipakai tayammum itu,
yakni solatnya wajib diulangi semua setelah mengambil wudhuk dengan air
tersebut. Hujjah mereka ialah; thoharah dengan air adalah perintah yang wajib.
Ia tidak gugur semata-mata kerana lupa.
Kedua; menurut Imam Abu Hanifah; dipakai tayammum itu, yakni solatnya sah
kerana lupa adanya air membawa ia kepada tidak dapat menggunakan air, maka
halnya sama seperti orang yang ketiadaan air.
Adakah tayammum hanya harus dengan tanah sahaja? Bolehkah bertayammum dengan
selain tanah?
Ada beberapa pandangan ulamak dalam masalah bahan yang harus digunakan untuk
bertayammum;
Pertama; jumhur ulamak (mazhab Imam Syafi’ie, Imam Ahmad, Ishaq,
Abu Yusuf dan Daud az-Dzahiri) mensyaratkan tayammum hendaklah dengan tanah,
tidak harus dengan pasir, batu, kapur dan sebagainya yang tidak dikategorikan
sebagai tanah. Dan disyaratkan tanah itu pula hendaklah berdebu (yakni dapat
melekat pada tangan bila ditepuk) dan bersih.
Kedua; Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula berpendapat; tidak
khusus kepada tanah sahaja. Harus tayammum dengan segala yang ada di atas
permukaan bumi; tidak hanya tanah, tetapi juga pasir, kapur, batu dan
seumpamanya. Malah menurut Imam Malik; harus tayammum dengan salji dan setiap
yang melapisi permukaan bumi. Imam Malik dan Imam Abu Hanifah juga tidak
mensyaratkan bahan-bahan untuk bertayammum itu berdebu. Oleh itu, pada
pandangan mereka; harus bertayammum di atas batu yang tidak ada debu atau di
atas tanah licin yang tidak ada debu yang melekat di tangan apabila ditepuk di
atasnya.
Adakah harus bertayammum dengan menepuk di dinding, di atas permaidani, di
pakaian, di belakang binatang kenderaan atau sebagainya?
Ada dua pandangan ulamak;
Pertama; mengikut pandangan mazhab Syafi’ie dan Ahmad; harus jika
di atas tempat-tempat yang ditepuk itu ada terdapat debu yang dapat melekat di
tangan sebagaimana yang disyaratkan tadi. Jika tidak terdapat debu padanya,
tidak harus tayammum.
Kedua; mengikut Imam Malik; tidak harus melakukan tayammum dengan
menepuk ke atas debu yang terdapat di atas pakaian, permaidani dan sebagainya
itu. Menurut beliau, tayammum hendaklah dengan menepuk terus ke atas bumi.
Adakah harus bertayammum dengan tanah bernajis?
Tidak harus kerana tayammum wajib dengan tanah atau bahan yang bersih kerana
Allah menyebutkan di dalam ayat “
صعيدا طيبا” (sha’id yang bersih). Begitu juga, Nabi s.a.w. juga bersabda;
“Sha’id (tanah) yang bersih adalah alat bersuci bagi seorang muslim jika ia
tidak mendapati air sekalipun selama sepuluh tahun. Jika ia telah menemui air,
hendaklah ia menyapu air (yakni membasuh) badannya. Demikian itu lebih baik
baginya”.
[8]Menurut Abu
Hamid; hukum tersebut telah disepakati oleh sekelian ulamak.
[9]
Adakah disyaratkan masuk waktu sahnya tayammum?
Ada dua pandangan ulamak;
Pertama; jumhur ulamak (terdiri dari mazhab Imam Malik, Syafi’ie,
Ahmad dan lain-lain) berpandangan; tidak sah tayammum melainkan setelah masuk
waktu solat sama ada tayammum kerana keputusan air atau kerana tidak mampu
menggunakan air. Maksud ‘masuk waktu’ ialah tiba waktu yang mengharuskan suatu
solat itu dilakukan. Disyaratkan masuk waktu kerana tayammum adalah toharah
darurat seperti mana toharah wanita yang istihadhah di mana kedua-duanya tidak
menghilangkan hadas, akan tetapi dilakukan hanya untuk mengharuskan solat
sahaja. Maka sebagaimana wanita yang istihadhah tidak harus mengambil wudhuk
melainkan setelah masuk waktu, begitu juga orang yang ingin melakukan tayammum
juga tidak harus melakukannya melainkan setelah masuk waktu solat.
Kedua; Imam Abu Hanifah berpandangan; tayammum tidak terikat dengan
waktu, yakni harus melakukan tayammum sekalipun belum masuk waktu. Beliau
mengkiaskannya dengan wudhuk dan toharah-toharah yang lain (mandi, menyapu
khuf, menghilangkan najis). Sebagaimana wudhuk harus dilakukan sebelum masuk
waktu solat, maka tayammum juga sedemikian kerana ia disyariatkan sebagai ganti
kepada kedua-duanya.
[10]
Apakah syarat tayammum bagi orang sakit atau luka?
Tidak semua jenis sakit atau luka mengharuskan tayammum. Sakit atau luka yang
mengharuskan tayammum ialah sakit atau luka yang penggunaan air ditakuti akan
menyebabkan at-talaf (kematian atau kemusnahan anggota) atau mendatangkan
mudarat pada badan. Ia merangkumi;
[11]
1. Akan menyebabkan kematian atau kerosakan pada aggota (
التلف); lumpuh dan sebagainya.
2. Penggunaan air menimbulkan penyakit yang membawa kematian atau kerosakan
anggota.
3. Menyebabkan sakit bertambah teruk atau penyakit semakin melarat.
4. Menyebabkan lambat sembuh
5. Menyebabkan kesakitan yang tidak tertanggung.
6. Menimbulkan kecacatan dan kejelikan yang ketara pada badan; seperti kulit
menjadi hitam atau sebagainya.
Kesan-kesan yang dibimbangi tersebut dari penggunaan air hendaklah disahkan
oleh pengalaman sendiri atau berdasarkan makluman dari doktor yang mahir.
Menurut mazhab Syafi’ie; doctor itu hendaklah muslim dan adil (tidak fasiq).
Tidak diterima pengakuan atau pengesahan dari doctor kafir atau fasiq.
[12]Namun
menurut mazhab Imam Malik; harus memakai pandangan atau makluman dari doktor
kafir jika tidak ada doktor muslim.
[13]
Apakah syarat tayammum bagi orang yang kesejukan?
Syaratnya ialah tidak ada sebarang ikhtiar lagi yang dapat dilakuka bagi
menggunakan air. Jika mampu berikhtiar sama ada dengan memanaskan air atau
sebagainya, wajiblah dilakukan ikhtiar itu. Jika tidak mampu, barulah
diharuskan tayammum.
[14]
Sejauhmanakah ibadah yang harus dilakukan dengan tayammum?
Tayammum mengharuskan apa yang diharuskan dengan wudhuk dan mandi.
[15] Seorang
yang bertayammum harus mengerjakan solat fardhu, solat sunat, sujud tilawah,
sujud syukur, membawa mushaf, membaca al-Quran dan beriktikaf. Hukum ini telah
disepakati oleh ulamak.
[16]
Namun para Fuqahak berikhtilaf dalam menentukan bilangan solat fardhu yang
harus dikerjakan dinisbahkan kepada satu tayammum yang dilakukan. Di sana ada
tiga pandangan;
[17]
Pandangan pertama; tayammum sama seperti wudhuk iaitu tidak terikat
dengan bilangan solat. Selagi tayammum tidak batal –iaitu dengan menjumpai air
atau dengan berlakunya hadas-, maka harus untuk melakukan dengan tayammum itu
seberapa banyak solat yang dikehendaki sama ada fardhu atau sunat dan tanpa
mengira waktu. Pandangan ini merupakan pendapat Sa’id bin al-Musayyab,
al-Hasan, az-Zuhri, as-Tsauri, Imam Abu Hanifah, al-Muzani dan ar-Ruyani.
Pandangan kedua; Jumhur ulamak yang terdiri dari Saidina ‘Ali, Ibnu
Umar, Ibnu ‘Abbas, as-Sya’bi, an-Nakha’ie, Qatadah, Yahya al-Ansari, Rabi’ah,
Malik, Syafi’ie, al-Laits, Ishaq dan Imam Ahmad. Mereka berpendapat; satu
tayammum hanya untuk satu solat fardhu atau satu ibadah wajib sahaja. Oleh
demikian, tidak harus menjamakkan dua solat dengan satu tayammum atau melakukan
dua tawaf atau melakukan satu solat fardhu dengan satu tawaf fardhu,
menghimpunkan dua solat nazar atau antara satu solat fardhu dengan satu solat
nazar. Hendaklah diperbaharui tayammum untuk setiap solat fardhu yang hendak
dilakukan setelah dipastikan tidak air terlebih dahulu. Adapun solat sunat,
harus dilakukan seberapa banyak yang dikehendaki.
Pandangan ketiga; Imam Abu Tsur dan fuqahak mazhab Hanbali.
[18] Mereka
berpandangan; Tayammum terikat dengan waktu di mana satu tayammum hanya bagi
satu waktu solat fardhu sahaja. Seorang yang bertayammum boleh melakukan apa
sahaja solat yang dikehendaki sama ada solat fardhu dalam waktu, solat fardhu
yang luput, menjamakkan dua solat dan seberapa banyak solat sunat yang diingini
selama belum masuk waktu lain. Apabila masuk waktu lain, batallah tayammum dan
wajib diulangi semula tayammum bagi mengharuskan solat kembali. Kedaaannya
menyamai seorang wanita istihadhah atau orang-orang lainnya yang melakukan
toharah darurat.
[19]
Apakah anggota-anggota tayammum?
Berdasarkan ayat al-Quran tadi dan hadis-hadis Nabi s.a.w. (sebahagiannya telah
kita sebutkan tadi), anggota tayammum hanya dua sahaja (sama ada tayammum bagi
menggantikan wudhuk atau bagi menggantikan mandi) iaitu;
1. Muka
2. Dua tangan
Mengenai muka tidak ada khilaf di kalangan ulamak bahawa keseluruhan kawasan
muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk, maka ketika tayammum kawasan
muka tersebut wajib diratai dengan debu. Adapun tangan, maka para ulamak
berbeza pandangan tentang kawasan yang wajib disapui debu;
Pertama; mengikut jumhur atau majoriti ulamak iaitu Saidina ‘Ali,
Ibnu ‘Umar, al-Hasan al-Basri, as-Sya’bi, Salim bin Abdullah, Imam Malik, al-Laits,
Imam Abu Hanifah dan Syafi’ie; kawasan tangan yang wajib disapui debu adalah
sama sebagaimana yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk iaitu bermula dari
hujung jari hinggalah ke siku.
[20] Mereka
berdalilkan –antaranya- sabda Nabi s.a.w.; “Tayammum itu dua kali tepukan,
sekali untuk disapu ke muka dan sekali untuk di sapu ke kedua tangan hingga ke
siku”.
[21]
Kedua; sekumpulan ulamak yang terdiri dari ‘Atho, Makhul,
al-Auza’ie, Imam Ahmad, Ishaq, Imam Syafi’ie (mengikut qaul qadimnya
sebagaimana diceritakan oleh Abu Tsur)
[22] dan
disokong oleh Ibnu al-Munzir berpandangan; kawasan tangan yang wajib disapui
debu ketika tayammum hanyalah sampai ke pergelangan tangan sahaja.
[23] Mereka
berdalilkan hadis kisah ‘Ammar (yang telah kita kemukakan tadi) di mana
Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Sesungguhnya memadai kamu menepuk dua
tapak tangan kamu ke tanah, kemudian kamu hembusnya (untuk menipiskan sedikit
debu di tapak tangan itu) dan seterusnya kamu sapukan debu ke muka dan ke dua
tangan kamu (hingga pergelangannya)”.
[24] Adapun
hadis yang dijadikan hujjah oleh jumhur tadi ia adalah dhaif. Sebenarnya ia
hanyalah pandangan Ibnu Umar, bukan sabda Nabi s.a.w..
Menurut Imam Nawawi; pandangan kedua di atas adalah kuat dari segi dalilnya dan
lebih hampir kepada kehendak as-Sunnah.
[25]
Berapakah bilangan tepukan yang wajib semasa melakukan tayammum?
Rentetan dari khilaf di atas, berlaku pula khilaf dalam menentukan berapakah
bilangan tepukan ke tanah yang mesti dilakukan oleh orang yang melakukan
tayammum? Mengikut jumhur ulamak tadi; tayammum wajib dengan sekurang-kurangnya
dua kali tepukan ke tanah; satu tepukan untuk disapu ke muka dan satu tepukan
lagi untuk disapu kepada dua tangan hingga ke siku. Jika dua kali tepukan itu
mencukupi untuk menyapu keseluruhan kawasan muka dan tangan (hingga ke siku),
tidak perlu lagi ditambah. Jika tidak, wajiblah tepukan itu ditambah hingga
debu meratai seluruh kawasan yang wajib disapu itu.
[26]
Adapun pandangan kedua di atas (‘Atho, Makhul, al-Auza’ie, Imam Ahmad, Ishaq
dan disokong oleh Ibnu al-Munzir), mereka menegaskan; yang wajib ialah sekali
tepukan sahaja untuk kedua-dua anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan
hingga pergelangannya.
[27]
Bilakah batalnya tayammum?
1. Tayammum adalah bersuci gantian bagi wudhuk. Apabila berlaku kepada orang
yang bertayammum perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhuk sebagaimana yang
telah kita jelaskan dalam tajuk yang lalu (contohnya, ia telah terkentut atau
tersentuh kemaluan atau sebagainya), maka batallah tayammumnya. Kesimpulannya,
perkara-perkara yang membatalkan wudhuk juga akan membawa kepada batalnya
tayammum.
2. Bagi orang yang bertayammum kerana ketiadaan air, tayammumnya batal apabila
telah bertemu air. Sebaik bertemu air, dengan sendiri tayammumnya terbatal.
Apabila hendak solat semula, wajib ia mengambil wudhuk, yakni tidak cukup
dengan tayammumnya tadi sekalipun ia tidak melakukan perkara-perkara yang
membatalkan tayammumnya. Jika ia bertayammum tadi kerana ganti mandi wajib,
hendaklah ia mandi wajib sebelum mengerjakan solat berikutnya.
3. Jika seorang bertayammum, kemudian belum sempat mengerjakan solat ia telah
menemui air, tidak harus ia menunaikan solat dengan tayammum itu, akan tetapi
hendaklah mengambil wudhuk, kemudian baru tunaikan solat. Ini kerana
tayammumnya dengan sendiri terbatal dengan kerana bertemu air sekalipun belum
sempat mengerjakan solat. Jika air ditemui semasa sedang solat (seperti ada
orang memberitahunya semasa sedang solat itu), jika ia ingin meneruskan
solatnya diharuskan dan solatnya sah. Namun sebaik-baiknya ialah ia
menghentikan solatnya, kemudian mengambil wudhuk dan melakukan semula solat.
Jika air ditemui setelah selesai solat, sah lah solat yang ditunaikan sebelum
bertemu air itu dan tidak perlu diulangi semula sekalipun waktu masih ada.
4. Jika bertayammum kerana keuzuran (seperti sakit, sejuk keterlaluan dan
sebagainya), tayammum dikira terbatal sebaik sahaja hilang keuzuran. Contohnya;
jika seseorang bertayammum kerana sakit, maka sebaik ia sembuh dari sakit,
batallah tayammumnya.
Video
http://m.youtube.com/watch?v=g75EHZCnGhs&desktop_uri=%2Fwatch%3Fv%3Dg75EHZCnGhs