Halaman

Ahad, 6 Julai 2014

Pembinaan Masjid Quba

SETELAH beberapa hari menempuh perjalanan jauh, akhirnya Nabi s.a.w. dan Abu Bakar As-Siddiq sampai ke Quba, sebuah perkampungan di pinggir kota Madinah. Ketibaan Nabi s.a.w. disambut penduduk Quba sebagai tetamu istimewa, baginda menjadi tetamu kepada seorang muslim bernama Kaltsum bin Adam. Di desa Quba itu Nabi s.a.w. berehat untuk menghilangkan letih dan penat selama beberapa hari.

Selang beberapa hari, saidina Ali bin Abi Talib yang menyusul kemudian, telah tiba di Quba. Saidina Ali lewat sampai beberapa hari dalam usahanya menyahut kewajipan hijrah ke Madinah,kerana melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya oleh Nabi s.a.w., untuk memulangkan harta benda, barang kemas dan wang dinar yang ditumpangkan oleh penduduk Makkah di rumah Nabi s.a.w..

Orang-orang Makkah yang selama ini merasa aman harta milik mereka dari gangguan, tetapi apabila Saidina Ali memulangkan semua harta tersebut atas arahan Nabi Muhammad s.a.w., maka mereka merasa sedih atas kehilangan orang yang sangat amanah. Tiada lagi orang yang sejujur Nabi s.a.w. untuk diamanahkan harta milik mereka, meskipun sebahagian dari mereka belum beriman dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi s.a.w., namun ketiadaan Nabi s.a.w. di kota Makkah adalah suatu kehilangan yang tiada gantinya bagi mereka yang berkenaan.

Ketikaberada di kampung Quba, Nabi s.a.w. telah mengasaskan pembinaan sebuah masjid yang dikenali hingga kini sebagai 'Masjid Quba'. Pembinaan masjid ini telah mendapat sanjungan dari Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan melalui firman-Nya yang bermaksud:

"Sesungguhnya masjid yang didirikan atas dasar taqwa (Masjid Quba), sejak hari pertama adalah patut kamu bersembahyang di dalamnya..."

(Surah At-Taubah ayat 108).

Pembinaan masjid Quba dilakukan ketika Nabi singgah beberapa hari di kampung tersebut, Nabi s.a.w. mendahulukan projek masjid berbanding dengan pembangunan lain. Ia membawa pengajaran kepada umatnya, bahawa pembinaan tempat ibadat mesti diberi keutamaan. Agar kaum muslimin mendahulukan soal 'Hablun minallah', supaya kehidupan manusia muslim mempunyai asas yang kukuh. Dengan memberikan keutamaan urusan mentaati Allah, akan mendorong hubungan sesama manusia akan lebih teratur.

Penduduk pinggir Madinah sangat berbesar hati apabila Nabi s.a.w. membina masjid di kampung mereka, sebuah masjid yang diasaskan atas dasar taqwa serta mendapat sanjungan dari Allah SWT. Masjid tersebut akan menjadi pusat kesatuan ummah, yang kehidupan mereka berlandaskan kepada ketaatan kepada Allah SWT.

Bagaimanapun penduduk kampung Quba sedar bahawa Nabi s.a.w. tidak akan menetap lama di Quba. Para penduduk Quba berusaha merayu Nabi s.a.w. agar sudi singgah dan bertamu ke rumah mereka, masing-masing saling menawarkan khidmat dan layanan yang sebaik-baiknya. Ada yang memegang tali kekang unta Nabi yang sedang berjalan membawa Nabi, seolah-olah mereka tidak membenarkan Nabi s.a.w. meninggalkan kampung mereka.

Semua tindakan yang dilakukan oleh penduduk Quba itu bukan hendak menghalang perjalanan Nabi s.a.w., tetapi menunjukkan bahawa kasih sayang mereka terhadap Nabi s.a.w. amat mendalam. Lalu Nabi bercakap kepada orang ramai dengan sabdanya yang bermaksud: Berilah laluan kepada unta tunggangan saya ini, kerana unta ini melangkah atas perintah Allah SWT untuk membawaku ke mana yang ia suka. Apabila unta ini berhenti, maka di situlah perintah Allah SWT kepadanya.

Sebagaimana penduduk Quba sayang kepada Nabi, maka demikian sebaliknya Nabi s.a.w. menyayangi mereka yang begitu banyak memberi khidmat kepada baginda s.a.w.. Namun baginda tetap meneruskan perjalanannya ke Madinah, sebagai destinasi hijrah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Baginda mengikuti gerak langkah unta kenderaannya yang melangkah tenang menuju matlamatnya. Langkah unta itu tidak berhenti selagi belum sampai ke destinasi hijrah yang ditunjukkan oleh Allah SWT.

Unta Nabi berjalan dilorong-lorong kota Madinah, hingga akhirnya sampai ke suatu tempat tanah lapang kepunyaan dua orang anak yatim daripada keturunan bani Najjar. Apabila unta tersebut berhenti, Nabi s.a.w. bersabda: Di sinilah tempat aku berhenti, Allah SWT menentukan unta itu berhenti di hadapan rumah Abu Ayub. Alangkah gembiranya Abu Ayub setelah mendapati unta Nabi s.a.w. berhenti bertepatan di hadapan rumahnya, beliau segera menyambut baginda s.a.w. dan mengangkat pelana unta Nabi lalu dibawa masuk ke dalam rumahnya.

Penduduk Madinah keluar beramai-ramai mengelilingi Nabi s.a.w. sebagai menzahirkan rasa gembira, kerana mereka akan berjiran dengan Nabi s.a.w.. Penduduk Madinah menyatakan rasa kesyukuran dengan bernasyid beramai-ramai yang berbunyi: "Nahnu Jiwarun min bani Najjar, ya Habba za Muhammadun min Jar" (Kami semua adalah jiranmu dari bani Najjar, alangkah bertuahnya kami mendapat jiran baru bernama Muhammad).

Setelah mendengar rangkap-rangkap nasyid yang didendangkan serentak oleh kaum bani Najjar, lalu Nabi s.a.w. bertanya kepada mereka: "Adakah benar-benar anda semua menyayangi aku? Mereka serentak menjawab: Ya, kami semua amat menyayangi Nabi s.a.w..

Walaupun penduduk Madinah dari bani Najjar menyatakan kasih sayang mereka kepada Nabi s.a.w. dalam bentuk syair, namun Nabi s.a.w. menjawabnya dengan nada biasa dan tidak dalam bentuk syair.

Allah SWT tidak memberikan ilmu tentang syair atau pantun kepada Rasul-Nya, kerana seorang Rasul begitu serius dalam melaksanakan tugas dakwah. Nabi tidak memerlukan syair, sebagaimana yang ditegaskan oleh firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya (Muhammad) dan bersyair itu tidaklah layak baginya. (Al-Quran) yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi pengajaran."

(Surah Yaa Sin ayat: 69).

Jika Nabi mempunyai kemahiran bersyair, dikhuatiri orang-orang akan menyanjung dan memuja Nabi s.a.w. kerana keindahan susunan syairnya. Sedangkan Nabi adalah seorang Rasul Allah yang membawa ajaran yang benar, mengajak manusia untuk kembali kepada Allah dan mencapai keredhaan-Nya semata-mata.

Nabi s.a.w. sampai ke Madinah pada tanggal dua belas Rabiul Awal tahun pertama hijrah. Allah SWT mentakdirkan tarikh hijrah itu bersamaan dengan tarikh lahir Nabi s.a.w.. Tarikh dua belas Rabiul Awal sebagai tarikh hijrah Nabi s.a.w. itu telah dicatatkan oleh Al-Mas'udi seorang ahli sejarah di dalam kitabnya berjudul "Murujuz Zahab" (Pulau-pulau Emas).

Tazkirah Oleh: TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT
-Harakah-

Khamis, 6 Februari 2014

Adab mengurus diri

ADAB MENGURUS DIRI

1. MAKSUD MENGURUS DIRI
Seseorang itu mengambil berat terhadap diri sendiri meliputi aspek kebersihan, kesihatan, pengurusan masa dan tata rias.
  • Aspek Kebersihan ialah suci daripada hadas dan kekotoran. cara membersihkan diri ialah mandi dan  berwuduk.
Aspek Kebersihan
Banyak faedah menjaga kebersihan,
Kesihatan terjamin mendapat kawan,
Beri pahala sebagai ganjaran,
Disukai manusia terutama teman.

  • Aspek Kesihatan ialah dengan memakan makanan yang halal, seimbang dan berzat. Bersopan ketika makan, membasuh tangan dan membaca ''Bismillah'' dan berdoa. Kita dilarang makan berlebihan dan membazir, makan sambil berdiri, berbaring dan bermain-main. Beriadah juga perlu untuk menyihatkan badan dan minda.
Aspek Kesihatan

Sempurna jasmani terjamin rohani,
Tubuh dididik pertahan diri,
Dijauhi penyakit cergas bistari,
Makanan haram wajib dijauhi.

  • Aspek Pengurusan Masa ialah menggunakan masa untuk perkara-perkara yang berfaedah. Kita dilarang membuang masa, menangguhkan urusan dan tidak menepati masa.
 Aspek Pengurusan Masa

Diri diasuh mematuhi masa,
Mengulangkaji pelajaran dengan sempurna, 
Jika tidak faham rajin bertanya,
Kejayaan cemerlang menanti jua.
  • Aspek Tata Rias ialah berhias diri supaya kemas dan cantik seperti menggunting rambut, memotong kuku, menggosok gigi, berpakaian kemas, bersih dan menutup aurat.

Aspek Tata rias

Yakin diri penampilan ceria,
      Kuku dan rambut bersih semua,
    Cantik dan kemas itulah harga,
   Diredahai Allah jiwa bahagia  
          
2. KEBAIKAN MENGURUS DIRI 
  • Kebersihan-Terjamin kesihatan, mendapat ramai kawan dan disukai orang ramai  serta mendapat ganjaran pahala.
  • Kesihatan- Dihindari penyakit, sempurna rohani dan jasmani dan cergas tubuh badan.
  • Pengurusan Masa- Berdisiplin menguruskan masa, mencapai kejayaan cemerlang dan menjalankan tugas dengan sempurna.
  • Tata Rias- Berkeyakinan dengan penampilan diri, sentiasa kemas, diredhai Allah, Mendapat ganjaran pahala dan punyai harga diri.

Allah bersifat Iradat

Al – Iradah :
Ertinya : Menghendaki Allah Ta’ala.
Maksudnya menentukan segala mumkin tentang adanya atau
tiadanya.
Sebenarnya adalah sifat yang qadim lagi azali thabit berdiri pada
Zat Allah Ta’ala yang menentukan segala perkara yang harus atau setengah yang harus atas mumkin . Maka Allah Ta’ala yang selayaknya menghendaki tiap-tiap sesuatu apa yang diperbuatnya.
Umat Islam beriktiqad akan segala hal yang telah berlaku dan yang akan berlaku adalah dengan mendapat ketentuan daripada Allah Ta’ala tentang rezeki , umur , baik , jahat , kaya , miskin dan sebagainya serta wajib pula beriktiqad manusia ada mempunyai nasib ( bahagian ) di dalam dunia ini sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
” Janganlah kamu lupakan nasib ( bahagian ) kamu di dalam dunia ” .
( Surah Al – Qasash : Ayat 77 )
Kesimpulannya ialah umat Islam mestilah bersungguh-sungguh untuk kemajuan di dunia dan akhirat di mana menjunjung titah perintah Allah Ta’aladan menjauhi akan segala larangan dan tegahannyadan bermohon dan berserah kepada Allah s.w.t.

Tujuan beriman dengan sifat Iradat.
1. Redha dengan iradat
2. Tidak berputus asa.
3. Tawakkal kepada Allah.
4. Berikhtiar.
5. Berkeyakinan.
6. Iman menjadi kuat.
7. Sabar menghadapi ujian Allah.

Akibat mengingkari sifat Iradat Allah.
1. Putus asa.
2. Merosakkan iman.
3. Mals berusaha.
4. Suka menyalahkan orang lain.
5. Lupa diri.
6. Sombong.

Israk dan mikraj

Israk Mikraj

Israk Mikraj adalah satu peristiwa besar dalam sejarah hidup Rasululah dan dalam sejarah umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj ini didahului dengan beberapa peristiwa yang mendukacitakan Rasulullah saw. Antaranya kematian bapa saudara Baginda, Abu Talib dan kewafatan isteri Baginda yang tercinta iaitu Saiyidatina Khadijah rha. Begitu juga peristiwa penolakan kaum Taif terhadap dakwah Baginda saw. Maka peristiwa Israk dan Mikraj ini dirumuskan sebagai kemuliaan dan hiburan istimewa dari Allah swt kepada kekasih-Nya.

Ringkasan peristiwa Israk dan Mikraj

Sebelum Israk dan Mikraj 

Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah SAW mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda SAW dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu dan iman ke dalam dada Rasulullah SAW. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Israk" itu.

Semasa Israk (Perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil-Aqsa) 

Sepanjang perjalanan (Israk) itu, Rasulullah SAW diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak 2 rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah: 
  1. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah. 
  2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa AS menerima wahyu daripada Allah.   
  3. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa AS dilahirkan)
    Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah SAW menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. 

    Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut:

    • Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang2. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak. 
    • Tempat yang berbau harum. Rasulullah SAW diberitahu oleh Jibrail: Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).  
    • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).
    • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail: Itulah orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka. 
    • Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri/suami. 
    • Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba. 
    • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain. 
    • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali2. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya. 
    • Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang. 
    • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat. 
    • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai hiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat. 
    • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah SAW tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia2kan umurnya sampai ke tua. 
    • Seorang perempuan bongkok 3 menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.
    Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian Baginda masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat 2 rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.

    Rasulullah SAW terasa dahaga lalu dibawa Jibrail 2 bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah SAW memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

    Semasa Mikraj (Naik ke Hadratul-Qudus Menemui Allah SWT)

    Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah SAW dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah). 

    Langit Pertama: Rasulullah SAW dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam AS. Kemudian dapat melihat orang2 yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat hodoh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan. 

    Langit Kedua: Nabi SAW dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa AS dan Nabi Yahya AS.

    Langit Ke-3: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf AS. 

    Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris AS. 

    Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun AS yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil. 

    Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi2. Seterusnya dengan Nabi Musa AS. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab. 

    Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu denan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah SAW, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Engkau akan berjumpa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.

    Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haula Wala Quwwata Illa Billah. Mengikut riwayat lain, Nabi Ibrahim AS bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah 5 kalimah, iaitu Subhanallah, Wal-Hamdulillah, Wa La Ilaha Illallah Allahu Akbar dan Wa La Haula  Wa La Quwwata Illa Billahil - 'Aliyyil-'Azhim. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga".

    Setelah melihat beberapa peristiwa lain yang ajaib, Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur terletak betul-betul di atas Baitullah di Mekah). 

    Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi pemata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tidak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah SAW dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta Malik penunggunya. 

    Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah SAW masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Baginda dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur' Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.


    Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:



    Allah SWT: Ya Muhammad.



    Rasulullah: Labbaika.



    Allah SWT: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan. 



    Rasulullah: Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata2 dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.



    Allah SWT: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik2 umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan 7 ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat2 di akhir surah al-Baqarah sebagai satu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji2 Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji2mu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu 50 (waktu) sembahyang. 


    Selesai munajat, Rasulullah SAW di bawa menemui Nabi Ibrahim AS kemudian Nabi Musa AS yang kemudiannya menyuruh Rasulullah SAW merayu kepada Allah SWT agar diberi keringanan mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas 9 kali merayu, (setiap kali dikurangkan 5 waktu), akhirnya Allah perkenanmemfardukan sembahyang 5 waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga


    Selepas Mikraj


    Rasulullah SAW turun ke langit dunia semula. Seterusnya Baginda turun ke Baitul-Maqdis lalu menunggang Buraq ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira2 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.

    Sumberhttp://ibuberbicara.blogspot.com/2013/06/peristiwa-israk-mikraj-nabi-muhammad-saw.html


    Ahad, 26 Januari 2014

    TAYAMMUM

    BERSUCI (TAYAMMUM)
    Apa makna tayammum?

    Tayammum bermaksud menyapu debu tanah yang bersih ke muka dan dua tangan sebagai ganti wudhuk dan mandi wajib ketika ketiadaan air atau tidak mampu menggunakan air kerana sakit, terlalu sejuk atau sebagainya.[1] Keharusan tayammum telah sabit dengan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak ulamak. Firman Allah di dalam al-Quran (bermaksud);

    “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu menyentuh (atau mensetubuhi) perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk atau untuk mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah itu”. (al-Maidah: 6).

    Bila diharuskan tayammum?

    Secara dasarnya, ada dua sebab yang mengharuskan tayamumm;

    1. Kerana keputusan air; sama air tidak ada langsung atau ada sedikit dan tidak cukup untuk mengambil wudhuk.

    2. Kerana tidak mampu menggunakan air

    Apakah dalil keharusan bertayammum apabila keputusan air?

    Dalil keharusan bertayammum kerana keputusan air ialah hadis dari Said bin Abdurrahman bin Abza yang meriwayatkan dari bapanya yang menceritakan; Seorang lelaki datang berjumpa Umar r.a. dan bertanya; “Aku telah berjunub dan aku tidak menemui air (untuk mandi)”. Umar menjawab; “Janganlah kamu mengerjakan solat (hingga kamu menemui air)”. Namun ‘Ammar bin Yasir r.a. (yang ada bersama Umar ketika itu) berkata kepada Umar; “Tidakkah engkau ingat ketika kita sama-sama dalam satu musafir di mana kita berdua telah berjunub dan kita tidak menemui air (untuk mandi). Adapun kamu, maka kamu memilih untuk tidak menunaikan solat. Adapun aku, maka aku telah berguling di atas tanah (untuk bertayammum) dan kemudian aku menunaikan solat”. Apabila diceritakan kepada Nabi s.a.w., maka baginda berkata (kepada ‘Ammar); “Sesungguhnya memadai kamu menepuk dua tapak tangan kamu ke tanah, kemudian kamu hembusnya (untuk menipiskan sedikit debu di tapak tangan itu) dan seterusnya kamu sapukan debu ke muka dan ke dua tangan kamu (hingga pergelangannya)”.[2]

    Apakah dalil keharusan bertayammum kerana tidak mampu menggunakan air?

    Dalilnya ialah hadis dari Amru bin al-As r.a. yang menceritakan; “Semasa dalam peperangan Zatus-Salasil, aku telah bermimpi (hingga keluar mani) pada malam yang bersangatan sejuk, lalu aku bimbang jika aku mandi mungkin akan membawa kebinasaan kepadaku. Maka aku pun bertayammum dan kemudian aku menunaikan solat Subuh bersama sahabat-sahabatku (tentera-tentera Islam). Apabila kami tiba di Madinah (setelah selesai perang), mereka mengadu kepada Rasulullah s.a.w. tentang apa yang telah aku lakukan (yakni bertayammum). Maka Rasulullah bertanya kepadaku; ‘Wahai Amru! Apakah kamu menunaikan solat bersama sahabat-sahabatmu sedangkan kamu berjunub?’. Lalu aku menjawab; ‘Aku teringat firman Allah; “Dan janganlah kamu membunuh diri kamu sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa mengasihani kamu”. (an-Nisa’; 29).
    Maka kerana ayat itu aku pun bertayammum dan kemudian mengerjakan solat’. Mendengar peneranganku, Rasulullah s.a.w. ketawa dan baginda tidak berkata apa-apa”.[3]

    Imam ad-Daruqutni menceritakan bahawa Saidina ‘Ali ditanya berkenaan seorang lelaki yang berada dalam musafir, lalu ia ditimpa junub sedang air yang ada padanya hanya sedikit di mana ia bimbang jika air itu digunakan untuk mandi wajib menyebabkan ia kehausan. Jawab Saidina ‘Ali; “Hendaklah ia bertayammum”. Imam Ahmad pernah menceritakan; “Beberapa orang sahabat bertayammum dan mereka menyimpan air untuk minuman mereka”.[4]

    Apakah contoh-contoh keadaan yang mengharuskan tayammum kerana tidak mampu menggunakan air?

    1. Tidak mampu menggunakan air kerana sakit, atau bimbang bertambah sakit, atau bimbang lambat sembuh. Hal tersebut diketahui dengan pengalaman atau makluman dari doktor.

    2. Air yang ada diperlukan (untuk minum dan sebagainya) pada ketika itu atau akan datang.

    3. Terdapat sangkaan yang kuat dalam dirinya bahawa akan ditimpa sakit jika ia menggunakan air.

    4. Takut kepada musuh yang menghalangnya dari mendapat air sama ada musuh itu manusia atau binatang buas.

    5. Air diperlukan untuk minuman haiwan yang bersamanya seperti kudanya atau sebagainya.

    6. Air diperlukan untuk menguli tepung, untuk memasak dan sebagainya.

    7. Air diperlukan untuk membasuh najis yang tidak dimaafkan (yakni mesti dibersihkan).

    8. Bimbang kepada sejuk yang bersangatan jika musim sejuk luar biasa.

    Apakah syarat-syarat sah tayammum?

    Untuk sahnya tayammum, para ulamak telah menggariskan syarat-syarat berikut;[5]

    Pertama; Hendaklah orang yang bertayammum mempunyai keuzuran yang menghalangnya dari menggunakan air iaitu kerana keputusan air atau tidak mampu menggunakan air.

    Kedua; Berusaha mencari air terlebih dahulu jika tayammum dilakukan kerana keputusan air.

    Ketiga; Hendak lah tayammum itu dengan menggunakan tanah yang bersih

    Keempat; Hendaklah bertayammum setelah masuk waktu

    Syarat pertama telahpun kita huraikan tadi iaitu tatkala memperkatakan tentang bilakah harus kita bertayammum. Untuk berikutnya kita huraikan syarat-syarat selebihnya iaitu yang bersangkutan dengan kewajipan mencari air, bahan tayammum (iaitu tanah menurut jumhur ulamak) dan waktu dilakukan tayammum.

    Apa maksud mencari air?

    Seseorang yang ingin bertayammum kerana ketiadaan air, wajib ia berusaha mencari air terlebih dahulu di kawasan sekitarnya. Jika air tiada di rumah, hendaklah ia pergi ke masjid umpamanya atau ke rumah berdekatan moga-moga menemui air. Jangan semata-mata tiada air di rumah, lalu ia pun bertayammum. Setelah pasti benar-benar tidak ada air, barulah bertayammum. Mencari air itu wajib diulangi setiap kali hendak bertayammum.[6]Tidak cukup dengan pencarian ketika kali pertama bertayammum sahaja.

    Bagaimana jika ada air, namun tidak mencukupi untuk bersuci, adakah digunakan air baru tayammum atau terus tayammum?

    Ada dua pandangan ulamak bagi masalah ini;[7]

    Pandangan pertama; wajib digunakan air yang ada itu, kemudian barulah bertayammum bagi anggota yang tidak dapat dicuci dengan air. Pandangan ini merupakan mazhab Imam Ahmad dan Imam Syafi’ie (dalam qaul jadidnya).

    Pandangan kedua; hendaklah terus bertayammum dan tinggalkan air itu. Pandanagn ini adalah pandangan jumhur ulamak yang terdiri dari al-Hasan, az-Zuhri, Hammad, Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafi’ie (dalam qaul qadimnya), Ibnu al-Munzir dan al-Muzanie (murid Imam Syafi’ie).

    Kalau seseorang itu lupa bahawa dalam kenderaannya ada air atau ia lupa ada menyimpan air di satu tempat, lalu ia pun bertayammum dan mengerjakan solat; bagaimana hukumnya? 

    Ada dua pandangan ulamak bagi masalah ini;

    Pertama; menurut Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad; tidak dipakai tayammum itu, yakni solatnya wajib diulangi semua setelah mengambil wudhuk dengan air tersebut. Hujjah mereka ialah; thoharah dengan air adalah perintah yang wajib. Ia tidak gugur semata-mata kerana lupa.

    Kedua; menurut Imam Abu Hanifah; dipakai tayammum itu, yakni solatnya sah kerana lupa adanya air membawa ia kepada tidak dapat menggunakan air, maka halnya sama seperti orang yang ketiadaan air.

    Adakah tayammum hanya harus dengan tanah sahaja? Bolehkah bertayammum dengan selain tanah?

    Ada beberapa pandangan ulamak dalam masalah bahan yang harus digunakan untuk bertayammum;

    Pertama; jumhur ulamak (mazhab Imam Syafi’ie, Imam Ahmad, Ishaq, Abu Yusuf dan Daud az-Dzahiri) mensyaratkan tayammum hendaklah dengan tanah, tidak harus dengan pasir, batu, kapur dan sebagainya yang tidak dikategorikan sebagai tanah. Dan disyaratkan tanah itu pula hendaklah berdebu (yakni dapat melekat pada tangan bila ditepuk) dan bersih.

    Kedua; Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula berpendapat; tidak khusus kepada tanah sahaja. Harus tayammum dengan segala yang ada di atas permukaan bumi; tidak hanya tanah, tetapi juga pasir, kapur, batu dan seumpamanya. Malah menurut Imam Malik; harus tayammum dengan salji dan setiap yang melapisi permukaan bumi. Imam Malik dan Imam Abu Hanifah juga tidak mensyaratkan bahan-bahan untuk bertayammum itu berdebu. Oleh itu, pada pandangan mereka; harus bertayammum di atas batu yang tidak ada debu atau di atas tanah licin yang tidak ada debu yang melekat di tangan apabila ditepuk di atasnya.

    Adakah harus bertayammum dengan menepuk di dinding, di atas permaidani, di pakaian, di belakang binatang kenderaan atau sebagainya?

    Ada dua pandangan ulamak;

    Pertama; mengikut pandangan mazhab Syafi’ie dan Ahmad; harus jika di atas tempat-tempat yang ditepuk itu ada terdapat debu yang dapat melekat di tangan sebagaimana yang disyaratkan tadi. Jika tidak terdapat debu padanya, tidak harus tayammum.

    Kedua; mengikut Imam Malik; tidak harus melakukan tayammum dengan menepuk ke atas debu yang terdapat di atas pakaian, permaidani dan sebagainya itu. Menurut beliau, tayammum hendaklah dengan menepuk terus ke atas bumi.

    Adakah harus bertayammum dengan tanah bernajis?

    Tidak harus kerana tayammum wajib dengan tanah atau bahan yang bersih kerana Allah menyebutkan di dalam ayat “صعيدا طيبا” (sha’id yang bersih). Begitu juga, Nabi s.a.w. juga bersabda; “Sha’id (tanah) yang bersih adalah alat bersuci bagi seorang muslim jika ia tidak mendapati air sekalipun selama sepuluh tahun. Jika ia telah menemui air, hendaklah ia menyapu air (yakni membasuh) badannya. Demikian itu lebih baik baginya”.[8]Menurut Abu Hamid; hukum tersebut telah disepakati oleh sekelian ulamak.[9]

    Adakah disyaratkan masuk waktu sahnya tayammum?

    Ada dua pandangan ulamak;

    Pertama; jumhur ulamak (terdiri dari mazhab Imam Malik, Syafi’ie, Ahmad dan lain-lain) berpandangan; tidak sah tayammum melainkan setelah masuk waktu solat sama ada tayammum kerana keputusan air atau kerana tidak mampu menggunakan air. Maksud ‘masuk waktu’ ialah tiba waktu yang mengharuskan suatu solat itu dilakukan. Disyaratkan masuk waktu kerana tayammum adalah toharah darurat seperti mana toharah wanita yang istihadhah di mana kedua-duanya tidak menghilangkan hadas, akan tetapi dilakukan hanya untuk mengharuskan solat sahaja. Maka sebagaimana wanita yang istihadhah tidak harus mengambil wudhuk melainkan setelah masuk waktu, begitu juga orang yang ingin melakukan tayammum juga tidak harus melakukannya melainkan setelah masuk waktu solat.

    Kedua; Imam Abu Hanifah berpandangan; tayammum tidak terikat dengan waktu, yakni harus melakukan tayammum sekalipun belum masuk waktu. Beliau mengkiaskannya dengan wudhuk dan toharah-toharah yang lain (mandi, menyapu khuf, menghilangkan najis). Sebagaimana wudhuk harus dilakukan sebelum masuk waktu solat, maka tayammum juga sedemikian kerana ia disyariatkan sebagai ganti kepada kedua-duanya.[10]

    Apakah syarat tayammum bagi orang sakit atau luka?

    Tidak semua jenis sakit atau luka mengharuskan tayammum. Sakit atau luka yang mengharuskan tayammum ialah sakit atau luka yang penggunaan air ditakuti akan menyebabkan at-talaf (kematian atau kemusnahan anggota) atau mendatangkan mudarat pada badan. Ia merangkumi;[11]
    1. Akan menyebabkan kematian atau kerosakan pada aggota (التلف); lumpuh dan sebagainya.
    2. Penggunaan air menimbulkan penyakit yang membawa kematian atau kerosakan anggota.
    3. Menyebabkan sakit bertambah teruk atau penyakit semakin melarat.
    4. Menyebabkan lambat sembuh
    5. Menyebabkan kesakitan yang tidak tertanggung.
    6. Menimbulkan kecacatan dan kejelikan yang ketara pada badan; seperti kulit menjadi hitam atau sebagainya.

    Kesan-kesan yang dibimbangi tersebut dari penggunaan air hendaklah disahkan oleh pengalaman sendiri atau berdasarkan makluman dari doktor yang mahir. Menurut mazhab Syafi’ie; doctor itu hendaklah muslim dan adil (tidak fasiq). Tidak diterima pengakuan atau pengesahan dari doctor kafir atau fasiq.[12]Namun menurut mazhab Imam Malik; harus memakai pandangan atau makluman dari doktor kafir jika tidak ada doktor muslim.[13]

    Apakah syarat tayammum bagi orang yang kesejukan?

    Syaratnya ialah tidak ada sebarang ikhtiar lagi yang dapat dilakuka bagi menggunakan air. Jika mampu berikhtiar sama ada dengan memanaskan air atau sebagainya, wajiblah dilakukan ikhtiar itu. Jika tidak mampu, barulah diharuskan tayammum.[14]

    Sejauhmanakah ibadah yang harus dilakukan dengan tayammum?

    Tayammum mengharuskan apa yang diharuskan dengan wudhuk dan mandi.[15] Seorang yang bertayammum harus mengerjakan solat fardhu, solat sunat, sujud tilawah, sujud syukur, membawa mushaf, membaca al-Quran dan beriktikaf. Hukum ini telah disepakati oleh ulamak.[16]

    Namun para Fuqahak berikhtilaf dalam menentukan bilangan solat fardhu yang harus dikerjakan dinisbahkan kepada satu tayammum yang dilakukan. Di sana ada tiga pandangan; [17]

    Pandangan pertama; tayammum sama seperti wudhuk iaitu tidak terikat dengan bilangan solat. Selagi tayammum tidak batal –iaitu dengan menjumpai air atau dengan berlakunya hadas-, maka harus untuk melakukan dengan tayammum itu seberapa banyak solat yang dikehendaki sama ada fardhu atau sunat dan tanpa mengira waktu. Pandangan ini merupakan pendapat Sa’id bin al-Musayyab, al-Hasan, az-Zuhri, as-Tsauri, Imam Abu Hanifah, al-Muzani dan ar-Ruyani.

    Pandangan kedua; Jumhur ulamak yang terdiri dari Saidina ‘Ali, Ibnu Umar, Ibnu ‘Abbas, as-Sya’bi, an-Nakha’ie, Qatadah, Yahya al-Ansari, Rabi’ah, Malik, Syafi’ie, al-Laits, Ishaq dan Imam Ahmad. Mereka berpendapat; satu tayammum hanya untuk satu solat fardhu atau satu ibadah wajib sahaja. Oleh demikian, tidak harus menjamakkan dua solat dengan satu tayammum atau melakukan dua tawaf atau melakukan satu solat fardhu dengan satu tawaf fardhu, menghimpunkan dua solat nazar atau antara satu solat fardhu dengan satu solat nazar. Hendaklah diperbaharui tayammum untuk setiap solat fardhu yang hendak dilakukan setelah dipastikan tidak air terlebih dahulu. Adapun solat sunat, harus dilakukan seberapa banyak yang dikehendaki.

    Pandangan ketiga; Imam Abu Tsur dan fuqahak mazhab Hanbali.[18] Mereka berpandangan; Tayammum terikat dengan waktu di mana satu tayammum hanya bagi satu waktu solat fardhu sahaja. Seorang yang bertayammum boleh melakukan apa sahaja solat yang dikehendaki sama ada solat fardhu dalam waktu, solat fardhu yang luput, menjamakkan dua solat dan seberapa banyak solat sunat yang diingini selama belum masuk waktu lain. Apabila masuk waktu lain, batallah tayammum dan wajib diulangi semula tayammum bagi mengharuskan solat kembali. Kedaaannya menyamai seorang wanita istihadhah atau orang-orang lainnya yang melakukan toharah darurat.[19]

    Apakah anggota-anggota tayammum?

    Berdasarkan ayat al-Quran tadi dan hadis-hadis Nabi s.a.w. (sebahagiannya telah kita sebutkan tadi), anggota tayammum hanya dua sahaja (sama ada tayammum bagi menggantikan wudhuk atau bagi menggantikan mandi) iaitu;

    1. Muka
    2. Dua tangan

    Mengenai muka tidak ada khilaf di kalangan ulamak bahawa keseluruhan kawasan muka yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk, maka ketika tayammum kawasan muka tersebut wajib diratai dengan debu. Adapun tangan, maka para ulamak berbeza pandangan tentang kawasan yang wajib disapui debu;

    Pertama; mengikut jumhur atau majoriti ulamak iaitu Saidina ‘Ali, Ibnu ‘Umar, al-Hasan al-Basri, as-Sya’bi, Salim bin Abdullah, Imam Malik, al-Laits, Imam Abu Hanifah dan Syafi’ie; kawasan tangan yang wajib disapui debu adalah sama sebagaimana yang wajib dibasuh ketika mengambil wudhuk iaitu bermula dari hujung jari hinggalah ke siku.[20] Mereka berdalilkan –antaranya- sabda Nabi s.a.w.; “Tayammum itu dua kali tepukan, sekali untuk disapu ke muka dan sekali untuk di sapu ke kedua tangan hingga ke siku”.[21]

    Kedua; sekumpulan ulamak yang terdiri dari ‘Atho, Makhul, al-Auza’ie, Imam Ahmad, Ishaq, Imam Syafi’ie (mengikut qaul qadimnya sebagaimana diceritakan oleh Abu Tsur)[22] dan disokong oleh Ibnu al-Munzir berpandangan; kawasan tangan yang wajib disapui debu ketika tayammum hanyalah sampai ke pergelangan tangan sahaja.[23] Mereka berdalilkan hadis kisah ‘Ammar (yang telah kita kemukakan tadi) di mana Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Sesungguhnya memadai kamu menepuk dua tapak tangan kamu ke tanah, kemudian kamu hembusnya (untuk menipiskan sedikit debu di tapak tangan itu) dan seterusnya kamu sapukan debu ke muka dan ke dua tangan kamu (hingga pergelangannya)”.[24] Adapun hadis yang dijadikan hujjah oleh jumhur tadi ia adalah dhaif. Sebenarnya ia hanyalah pandangan Ibnu Umar, bukan sabda Nabi s.a.w..

    Menurut Imam Nawawi; pandangan kedua di atas adalah kuat dari segi dalilnya dan lebih hampir kepada kehendak as-Sunnah.[25]

    Berapakah bilangan tepukan yang wajib semasa melakukan tayammum?

    Rentetan dari khilaf di atas, berlaku pula khilaf dalam menentukan berapakah bilangan tepukan ke tanah yang mesti dilakukan oleh orang yang melakukan tayammum? Mengikut jumhur ulamak tadi; tayammum wajib dengan sekurang-kurangnya dua kali tepukan ke tanah; satu tepukan untuk disapu ke muka dan satu tepukan lagi untuk disapu kepada dua tangan hingga ke siku. Jika dua kali tepukan itu mencukupi untuk menyapu keseluruhan kawasan muka dan tangan (hingga ke siku), tidak perlu lagi ditambah. Jika tidak, wajiblah tepukan itu ditambah hingga debu meratai seluruh kawasan yang wajib disapu itu.[26]

    Adapun pandangan kedua di atas (‘Atho, Makhul, al-Auza’ie, Imam Ahmad, Ishaq dan disokong oleh Ibnu al-Munzir), mereka menegaskan; yang wajib ialah sekali tepukan sahaja untuk kedua-dua anggota tayammum iaitu muka dan dua tangan hingga pergelangannya.[27]

    Bilakah batalnya tayammum?

    1. Tayammum adalah bersuci gantian bagi wudhuk. Apabila berlaku kepada orang yang bertayammum perkara-perkara yang boleh membatalkan wudhuk sebagaimana yang telah kita jelaskan dalam tajuk yang lalu (contohnya, ia telah terkentut atau tersentuh kemaluan atau sebagainya), maka batallah tayammumnya. Kesimpulannya, perkara-perkara yang membatalkan wudhuk juga akan membawa kepada batalnya tayammum.

    2. Bagi orang yang bertayammum kerana ketiadaan air, tayammumnya batal apabila telah bertemu air. Sebaik bertemu air, dengan sendiri tayammumnya terbatal. Apabila hendak solat semula, wajib ia mengambil wudhuk, yakni tidak cukup dengan tayammumnya tadi sekalipun ia tidak melakukan perkara-perkara yang membatalkan tayammumnya. Jika ia bertayammum tadi kerana ganti mandi wajib, hendaklah ia mandi wajib sebelum mengerjakan solat berikutnya.

    3. Jika seorang bertayammum, kemudian belum sempat mengerjakan solat ia telah menemui air, tidak harus ia menunaikan solat dengan tayammum itu, akan tetapi hendaklah mengambil wudhuk, kemudian baru tunaikan solat. Ini kerana tayammumnya dengan sendiri terbatal dengan kerana bertemu air sekalipun belum sempat mengerjakan solat. Jika air ditemui semasa sedang solat (seperti ada orang memberitahunya semasa sedang solat itu), jika ia ingin meneruskan solatnya diharuskan dan solatnya sah. Namun sebaik-baiknya ialah ia menghentikan solatnya, kemudian mengambil wudhuk dan melakukan semula solat. Jika air ditemui setelah selesai solat, sah lah solat yang ditunaikan sebelum bertemu air itu dan tidak perlu diulangi semula sekalipun waktu masih ada.

    4. Jika bertayammum kerana keuzuran (seperti sakit, sejuk keterlaluan dan sebagainya), tayammum dikira terbatal sebaik sahaja hilang keuzuran. Contohnya; jika seseorang bertayammum kerana sakit, maka sebaik ia sembuh dari sakit, batallah tayammumnya.

    Video http://m.youtube.com/watch?v=g75EHZCnGhs&desktop_uri=%2Fwatch%3Fv%3Dg75EHZCnGhs

    Sumber (http://fiqh-am.blogspot.com/2008/06/bersuci-tayammum.html)